Fahami kedudukan anak untuk habuan faraid

Iklan
PERUNTUKAN faraid adalah antara bentuk perlindungan kepada anak-anak si mati yang berterusan selepas ibu atau bapa dijemput Ilahi. -Gambar kecil: ZAHARI MAHAD MUSA

Bukan sahaja anak kandung, malah anak angkat, anak susuan dan anak zina juga perlu dilindungi

KEHADIRAN anak menjadi sebahagian nikmat kehidupan yang diberikan kepada ibu bapa. Pengabaian hak mereka amat ditegah dalam Islam. Peruntukan habuan faraid merupakan sebahagian bentuk perlindungan kepada anak si mati yang berterusan selepas ketiadaan ibu dan bapa mereka.

Bersyukurlah jika masih ada harta pusaka sebagai sokongan kewangan yang ditinggal untuk meneruskan kehidupan. Namun jika tiada harta pusaka yang ditinggal, janganlah sampai berkata nista terhadap 'orang tua' yang telah dijemput Ilahi. Apapun status anak dalam sistem pusaka Islam, sematkanlah untuk menjadi 'anak soleh' yang sentiasa mendoakan ibu dan bapa yang telah tiada.

Iklan
Iklan

Kedudukan anak dalam sesebuah keluarga adalah berbeza untuk mendapat habuan faraid walaupun kehadiran mereka perlu dijaga dan dilindungi. Anak kandung lebih terjamin faraidnya kerana hubungan nasab.

Manakala anak angkat, anak susuan mahupun anak zina mempunyai perbahasan terperinci kerana ada peraturan lain dalam sistem faraid.

Iklan

KEDUDUKAN anak dalam sesebuah keluarga adalah berbeza untuk mendapat habuan faraid walaupun kehadiran mereka perlu dijaga dan dilindungi. Anak kandung lebih terjamin faraidnya kerana hubungan nasab.

Sandaran utama

Iklan

I) Anak kandung

Pangkal ayat 11 daripada surah an-Nisa’ menjadi sandaran utama agihan faraid kepada anak kandung yang sah hubungan nasabnya.

Firman ALLAH SWT:"ALLAH perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu.” (Surah an-Nisa’, ayat 11)

Perbahasan hukum faraid memperincikan bahawa anak lelaki dan anak perempuan mempunyai status waris yang berbeza. Anak perempuan merupakan waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) iaitu kadar satu perdua atau dua pertiga seperti syarat yang termaktub dalam ayat sebelum ini.

Status ini boleh bertukar sebagai waris ‘asabah (waris yang dapat lebihan pusaka). Sedangkan anak lelaki si mati hanya berstatus waris ‘asabah semata-mata dan tidak mungkin memperolehi faraid mengikut kadar-kadar yang tetap.

II) Anak susuan

Secara asasnya, Islam membenarkan seseorang wanita untuk menyusukan seseorang bayi yang bukan anak kandungnya terutama jika terdapat situasi yang mendesak untuk penyusuan tersebut. Hal ini dinyatakan menerusi firman ALLAH yang bermaksud: "Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.” (Surah at-Talaq, ayat 6)

ANAK angkat tidak tersenarai sebagai waris yang layak mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkatnya mengikut peraturan hukum faraid.

Impak penyusuan tersebut jika memenuhi syarat-syaratnya menyebabkan bayi tadi menjadi anak susuan kepada wanita tersebut. Bahkan hubungan mahram untuk berkahwin antara anak susuan bukan sahaja terhadap ibu susuannya sahaja, tetapi perempuan lain yang ada pertalian dalam keluarga ibu susuan tersebut seiring dengan kaedah fiqh yang menyatakan:"Setiap apa yang sabit bagi nasab dari aspek kemahraman akan disabitkan juga bagi hubungan susuan”.

Walau bagaimanapun, persamaan yang berlaku ini tidak melibatkan pewarisan antara anak susuan dengan ahli keluarga susuannya. Asas yang jelas ialah penyusuan tadi tidaklah menjadi hubungan nasab yang menjadi sebab sesuatu pewarisan dalam Islam.

Oleh yang demikian, jika ibu susuan meninggal dunia, maka kedudukan anak susuan bukanlah sebahagian waris yang mendapat faraid ibu susuannya.

III) Anak angkat

Budaya pengangkatan anak bukanlah suatu yang asing, bahkan pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri ketika hayat Baginda. Sesiapa yang mengambil anak angkat tetap bertangunggjawab untuk memberi layanan dan perlindungan yang terbaik terutama jika anak yang diambil dalam kalangan anak yatim.

Namun bezanya anak angkat tidak punya pertalian darah atau nasab dengan bapa atau susur galur keturunan dengan keluarga angkatnya.

Perkara ini jelas tidak memenuhi salah satu daripada tiga sebab pewarisan yang disepakati oleh majoriti fuqaha iaitu nasab, perkahwinan dan wala’ (pembebasan hamba).

Oleh itu, anak angkat tidak tersenarai sebagai waris yang layak mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkatnya mengikut peraturan hukum faraid.

Meskipun begitu, tidak menjadi kesalahan untuk keluarga angkat membuat kebajikan melalui mekanisme agihan harta yang lain seperti hibah atau wasiat.

APAPUN status anak dalam sistem pusaka Islam, sematkanlah untuk menjadi 'anak soleh' yang sentiasa mendoakan ibu dan bapa yang telah tiada.

IV) Anak zina

Zina adalah perbuatan maksiat dan ditegah dalam Islam. Jika hubungan terlarang tersebut diakhiri dengan kelahiran, maka anak yang lahir adalah anak zina. Sekali lagi perlindungan anak zina merupakan sebahagian bentuk kebajikan kerana mereka tidak bersalah atas dosa ibu dan lelaki biologi hubungan kelamin tersebut.

Disebabkan nasab yang sah merupakan sebab utama dalam faraid, maka perincian perlu dibuat antara hubungan anak zina dengan ibu dan lelaki biologi tersebut.

Anak zina masih punya hubungan nasab dengan ibunya. Oleh itu, jika si ibu meninggal dunia, maka anak tadi masih berhak dengan habuan faraid ibunya.

Bahkan jika ibu tadi ada anak lain, maka hubungan adik beradik seibu masih wujud. Sebaliknya, putusnya rantaian nasab antara anak dan lelaki biologi menyebabkan si anak tiada hak faraid ke atas harta jika berlaku kematian lelaki tersebut.

***Zahari Mahad Musa (Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)