JOHOR BAHRU - Promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) berjalan sepertimana dirancang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, sekali gus menafikan dakwaan promosi terbabit kurang memberangsangkan di media sosial dan media massa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Saraya Albi berkata, promosi TMM2020 sebenarnya sudah bermula sejak 2018 dan pihaknya menerusi Tourism Malaysia sudah melakukan pelbagai inisiatif termasuk membuat hebahan semasa Asia Forum Tousrim di Bangkok, Thailand dan London.
"Sesetengah negara turut bekerjasama melalui syarikat penerbangan membawa pelancong. Baru-baru ini, negara Khazakhstan buat julung kali bawa pelancong mereka ke negara ini. Difahamkan terdapat 750 penumpang dalam pesawat tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Festival Kraf Johor 2019 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat di Plaza Angsana Johor Bahru di sini hari ini.
Mengulas mengenai promosi TMM2020 kepada pelancong tempatan, Saraya memberitahu, promosi lebih banyak dibuat melalui media sosial dan juga lawan web.
"Pada 1 Januari nanti, sambutan besar-besaran ketibaan pelancong akan diadakan di semua 22 pintu masuk seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri.
"Pelancong domestik atau luar negara yang pertama tiba melalui penerbangan akan dikalungkan mafla dan diberikan cenderamata," katanya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, jualan kraf seluruh negara mencatatkan nilai jualan sejumlah RM465 juta sejak Januari hingga November lalu.
Melalui teks ucapan beliau yang dibacakan Dr Noor Zari, jualan terbabit melibatkan 5, 796 orang usahawan kraf dari seluruh negara yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia.