PUTRAJAYA - Seorang bekas pengerusi Tourism Malaysia bergelar datuk direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kontrak agensi itu bernilai lebih RM99 juta.
Tempoh tahanan reman itu berkuat kuasa hari ini dan berakhir 12 Januari ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut direman bagi tempoh sama, seorang wanita berjawatan ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat.
Suspek masing-masing berusia 64 dan 32 tahun disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM, iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.
Terdahulu kedua-dua suspek tiba di pekarangan kompleks Mahkamah Putrajaya jam 9 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan digari.
Semalam, SPRM membuat penahanan terhadap suspek berkenaan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu.
Pada Jun tahun lalu, SPRM muncul di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dipercayai berkaitan dengan kontrak ditandatangani Tourism Malaysia dengan sebuah syarikat.
SPRM juga membuka kertas siasatan berhubung satu kontrak bernilai lebih RM90 juta membabitkan sebuah syarikat tempatan yang mewakili Tourism Malaysia untuk berunding dengan sebuah firma di China bagi mempromosi Malaysia di pentas media sosial di negara berkenaan.
Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab, memaklumkan beberapa pegawai SPRM berkunjung ke kementerian itu di Putrajaya untuk mengemukakan beberapa soalan mengenai perjanjian promosi yang ditandatangani dengan syarikat swasta.
Namun, belum dapat dipastikan sama ada penahanan berkenaan berkaitan dengan perkara itu.