SELANGOR sekali lagi bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang akan berlangsung pada 13 hingga 18 Februari depan.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Badminton Asia (BA), Datuk Kenny Goh Chee Keong yang berkata, kejohanan dwitahunan tersebut akan diadakan di lokasi sama seperti edisi 2022 iaitu di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Selangor.
Iklan
Iklan
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengapa kejohanan itu tidak diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sepatutnya mendapat hak penganjuran bagi tempoh lima tahun hingga 2027.
"Kita tidak membida untuk menganjurkannya, kebetulan kerajaan Selangor berminat dan minta BA serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk anjurkan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menerusi penganjuran itu, pemain badminton negara sekali gus berpeluang mempertahankan kejuaraan di laman sendiri apatah lagi kejohanan kali ini bakal menjadi medan kelayakan ke Piala Thomas yang akan berlangsung di Chengdu, China pada April.
Pada edisi 2022, skuad lelaki kebangsaan mencipta sejarah menjuarai BATC buat julung kali dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0. - Bernama
Artikel Berkaitan