MERSING - [DIKEMAS KNI] Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Mersing, depan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, nahas dipercayai berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki warga tempatan berumur 56 tahun itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan.
"Van dari arah Johor Bahru menuju ke Kuantan secara tiba-tiba telah hilang kawalan ketika melalui selekoh hingga memasuki laluan bertentangan dan berlaku perlanggaran dengan lori jenis Hino yang membawa muatan ikan.
"Pelanggaran itu menyebabkan pemandu van terbabit meninggal dunia akibat tersepit sementara seorang wanita warga emas yang berada di tempat duduk penumpang belakang tercampak ke atas jalan raya.
"Wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah," katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, menurut Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan jalan raya berkenaan melalui talian MER999 pada jam 6.13 petang, Jumaat.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Mersing dengan 10 anggota bomba dihantar ke lokasi.
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kemalangan jalan raya tersebut melibatkan dua kenderaan jenis lori dua tan dengan sebuah van persendirian.
"Terdapat sembilan mangsa terlibat, dua daripadanya telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang berada di lokasi.
"Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan. Operasi ditamatkan pada 7.39 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Untuk rekod, mangsa yang maut merupakan seorang lelaki yang juga pemandu van berusia 56 tahun dan seorang wanita berusia 62 tahun.
Enam penumpang van melibatkan dua perempuan dewasa turut mengalami kecederaan manakala dua lelaki dan dua perempuan dewasa terselamat dalam kemalangan berkenaan.
Sementara itu, pemandu lori yang juga seorang lelaki, turut terselamat.
Operasi ditamatkan pada jam lebih kurang 7.39 malam.