JUARA Piala Sumbangsih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam berada di landasan tepat merangkul kejuaraan berganda selepas mengesahkan kemaraan ke pentas perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) pada Jumaat.
Dalam perlawanan separuh akhir di padang A Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, angkatan Mohd Akid Aiman Mohd Zanggi yang merupakan pilihan berjaya menyingkirkan cabaran pasukan sensasi SMK Darul Ehsan, 2-1.
Bagaimanapun SMK Darul Ehsan yang menang besar 5-1 ke atas Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) Sungai Besar di suku akhir terlebih dulu memimpin perlawanan hasil jaringan Wan Faysal Arman Wan Faizal Anuar pada minit ke-14.
Biarpun begitu Vincenzo Oliveo D'Dozzel Donny kembali meletakkan SMK Shah Alam semula dalam permainan hasil jaringan minit ke-23.
Perlawanan kembali rancak menyaksikan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, namun ketumpulan penyudah selain kekentalan benteng pertahanan masing-masing.
Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan menggandakan asakan masing-masing menyaksikan perlawanan yang berintensiti tinggi tersebut kembali rancak.
SMK berpeluang melebarkan jaringan apabila diberikan sepakan penalti setelah Vincenzo dijatuhkan dalam kotak penalti, namun pemain tersebut gagal menyempurnakan peluang pada minit ke-33 itu.
Tuah ternyata memihak SMK Shah Alam apabila gol dicari berjaya dijelmakan menerusi jaringan Anwar Ariff Fuad pada minit ke-61 sekali gus memacu pasukannya ke pentas final.
Sementara itu, pengurus pasukan SMK Shah Alam, Zaharol Ismail berkata,"Alhamdulillah, syukur saya gembira apabila semua pemain berjaya melaksanakan tugasan diberikan jurulatih dengan baik dalam perlawanan ini.
"Ya, saya juga akui jentera serangan kurang memberi impak tinggi berbanding dalam perlawanan terdahulu, namun barisan kejurulatihan akan melihat semula perkara ini sebelum perlawanan akhir.
"Biarpun begitu, saya tetap bangga apabila misi pasukan SMK Shah Alam untuk mara ke pentas perlawanan akhir direalisasikan biarpun hanya dengan satu jaringan sahaja.
"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Shah Alam serta ibu bapa para pemain yang terlibat kerana sentiasa menjaga kebajikan pemain sepanjang berlangsungnya kejohanan ini.”
Kemenangan itu membolehkan anak buah Mohd Akid Aiman berdepan jagoan Klang, SMK Meru dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Isnin ini.
Sebagai rekod kejohanan mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.