SHAH ALAM - Penumpang pesawat dipercayai direkrut sindiket untuk dijadikan keldai bagi membawa hidupan liar yang disorokkan di dalam bagasi.
Mendedahkan perkara itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkata, itu antara taktik sindiket yang menggunakan laluan udara sebagai cara untuk menyeludup hidupan liar.
Menurutnya, berdasarkan penahanan dan rampasan JKDM serta laporan media antarabangsa sepanjang 2023, kebanyakan kes penyeludupan hidupan liar yang direkodkan adalah melibatkan pergerakan udara dan darat.
"Modus operandi penyeludupan hidupan liar berbeza mengikut mod laluan yang digunakan penyeludup.
"Bagi mod udara, sindiket menggunakan keldai yang terdiri dalam kalangan penumpang untuk membawa checked-in luggage yang telah dimuatkan dengan hidupan liar oleh pihak sindiket.
"Kegiatan ini tertumpu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 di mana modus operandinya dilihat kerap digunakan bagi kes penyeludupan keluar (laluan eksport) dari Malaysia,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.
JKDM berkata, selain itu, pergerakan hidupan liar menerusi mod udara turut melibatkan perkhidmatan kurier, namun ia hanya dalam kuantiti dan nilai rampasan yang rendah.
Bagi mod darat, tambah JKDM, penyeludup kebiasaannya menggunakan pacuan empat roda (persendirian) dan cuba memasuki Malaysia waktu puncak.
"Kebanyakan barang bukti yang dikesan tidak disamarkan dan hanya ditutupi alas kain atau kanvas saja,” katanya.
KUMPUL DATA
Tambah JKDM lagi, jabatan telah berjaya mengesan pihak-pihak yang terlibat dalam penyeludupan hidupan liar di KLIA 1 dan KLIA 2 sepanjang tahun 2023 yang menggunakan taktik checked in luggage dan juga kurier.
"Bagaimanapun ia masih dalam peringkat tindakan pengumpulan maklumat susulan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, statistik kes pada tahun ini bagi tempoh 10 bulan sejak Januari, sebanyak 16 kes kejayaan direkodkan JKDM dengan nilai rampasan mencecah RM889,365.
"Kita turut menahan tiga individu iaitu dua tempatan dan seorang warga Singapura,” katanya.
Menurut JKDM, rampasan terbesar bagi tahun 2023 adalah melibatkan penyeludupan pelbagai jenis burung kakak tua melalui sempadan darat di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, Johor di laluan import dari Singapura ke Malaysia oleh seorang lelaki warganegara Singapura.
"Rampasan ini dianggarkan bernilai lebih RM500,000,” katanya.
Ujar JKDM, berdasarkan kes rampasan bagi tahun 2017 hingga 2022, tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian sindiket penyeludupan hidupan liar ini berkemungkinan berselindung di sebalik aktiviti yang sah terutamanya bagi pergerakan kargo udara dan laut.
Jelasnya, bagaimanapun, adalah sukar bagi JKDM untuk membuktikannya memandangkan Malaysia kebiasaannya hanya berperanan sebagai negara transit yang mana pergerakan konsainan diuruskan sepenuhnya oleh ejen kastam atau penghantaran tanpa kehadiran pengeksport atau pihak penerima.
"Pada tahun ini khususnya bagi kes melibatkan penumpang udara, tiada pembuktian menunjukkan sindiket berselindung di sebalik aktiviti yang sah dan tiada cubaan sogokan berkaitan penyeludupan hidupan liar dilaporkan,” katanya.
TINDAKAN SERIUS OBK
Katanya lagi, JKDM berkerjasama rapat dengan semua agensi penguatkuasaan lain yang turut menangani jenayah penyeludupan hidupan liar menerusi pelaksanaan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang telah bermula pada tahun 2020.
"Kerjasama ini melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan banyak lagi.
"Kerjasama ini juga meliputi perkongsian maklumat, pelaksanaan operasi bersepadu, bantuan bagi pengecaman barang ekshibit, latihan bersama serta melibatkan proses pelupusan barang rampasan dan penghantaran pulang ke negara asal," katanya.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk memainkan peranan melindungi hidupan liar negara.
KES-KES SEBELUM INI
6 November 2023
SEPANG - Cubaan seorang warga asing menyeludup tiga ekor tenggiling berjaya dipatahkan oleh pasukan task force pencegahan penyeludupan hidupan liar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Oktober lalu.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Wong Pun Sian berkata, anggota polis bantuan KLIA Terminal 2 menahan seorang penumpang lelaki warganegara India bersama satu bagasi pada jam 9 malam.
26 Jun 2019
SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan seludup 5,255 ekor anak kura-kura jenis red ear slider ke India yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) membabitkan penahanan dua warga India.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, anak kura-kura bernilai RM52,550 itu diletakkan di dalam 32 bakul kecil bagasi milik kedua-dua suspek dengan sebahagian daripadanya didapati sudah mati.
22 September 2018
KANGAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 435 haiwan eksotik termasuk sepasang anak orang utan yang cuba diseludup di kawasan perairan Kuala Perlis-Langkawi.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromanian berkata, dalam kejadian 12.25 pagi itu, pihaknya menahan sebuah bot nelayan dinaiki tiga suspek warga Indonesia.
Antara haiwan yang dirampas ialah anak orang utan, anak musang albino, burung cenderawasih, burung alba cockatoo, burung electus parrot, burung bayan nuri, burung kuang raya, anak buaya dan sugar glider.
15 Mei 2017
SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 330 ekor kura-kura dua spesies bernilai RM1.2 juta.
Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) KLIA, Abdull Wahid Sulong berkata, hasil pemeriksaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, KLIA mendapati lima kotak yang disyaki barang larangan import.
Hasil pemeriksaan rapi ke atas kotak itu menemui lima ekor kura-kura jenis ploughshare dan 325 ekor kura-kura jenis indian star cuba diseludup sekali gus menjadi kes tangkapan terbesar sejak tiga tahun lalu.