GEORGETOWN - Notis penetapan waktu operasi Masjid Jalan York di sini bermula jam 9.30 pagi hingga jam 9.30 malam dibuat susulan masjid berkenaan sering menjadi mangsa vandalisme dan tempat beberapa 'orang pelik' bermalam.
Pengerusinya, Datuk Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem berkata, masjid tersebut juga bukan masjid utama dan ianya hanya berstatus surau.
"Kita dapati ada banyak kes jenayah dan vandalisme berlaku ke atas masjid ini. Paip dan pintu pecah, kamera litar tertutup kena curi selain ada beberapa 'orang pelik' yang bermalam di masjid.
"Saya sudah buat laporan polis pada Januari lalu dan polis tahu perkara ini.
"Akibat perbuatan tidak bermoral itu, kami juga terpaksa menggunakan wang tabung masjid dan wang sendiri untuk menampung kos pembaikan berjumlah RM10,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu tular satu notis daripada masjid berkenaan yang mengehadkan waktu operasi masjid bermula jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam sahaja setiap hari berkuatkuasa pada 31 Disember ini.
Menerusi notis itu juga, umat Islam yang ingin menunaikan solat Subuh dan Isyak (selepas jam 9.30 malam) disarankan ke Masjid Jamek Shaik Eusoff di Datuk Keramat.
Berkenaan solat Subuh, Dr Basheer Ahamed berkata, di masjid itu hanya seorang atau dua jemaah yang menunaikan solat Subuh.
"Kita dapati hanya seorang dan dua orang saja yang datang solat subuh di sini. Itu pun kadang-kadang, bukan setiap hari.
"Oleh itu, untuk perpaduan ummah, kita galakan mereka bersolat Subuh di Masjid Jamek Shaik Eusoff atau Masjid Kebun Lama, iaitu 250 meter dari masjid ini," katanya.
Beliau berkata, notis dikeluarkan bukan untuk menghalang jemaah menunaikan solat Subuh di masjid berkenaan.
"Saya masih waras, tak akan saya nak halang orang bersolat. Sebenarnya, masjid ini berstatus surau. Imam dan kariah pun tak ada, apatah lagi solat Jumaat.
"Ini kerana tiada penduduk di sekitar masjid ini. Yang datang bersolat pun, orang luar yang singgah, penduduk tempatan tak ada.
"Saya dan AJK kariah pun (berkhidmat) sukarela sahaja bukan dilantik. Mungkin kerana saya kerap ke masjid ini sebab berdekatan dengan tempat kerja, jadi saya diangkat sebagai pengerusi masjid," katanya.
Menurutnya, AJK Kariah Masjid Jalan York juga bersedia bertemu dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi berbincang berhubung isu notis had operasi masjid tersebut.
Dr Basheer Ahamed berkata, beliau ada menghantar surat kepada Pejabat Agama Daerah Timur Laut berhubung notis tersebut beberapa hari sebelum ia dikeluarkan.
"Saya bersedia untuk berjumpa untuk berbincang perkara ini. Saya dan AJK kariah tak ada masalah untuk berbincang. Malah saya telah dihubungi oleh pejabat agama, mungkin dalam minggu ini perbincangan itu akan diadakan.
"Kita akan berbincang dengan pihak bertanggungjawab termasuk polis untuk mendapatkan penyelesaian yang terbaik," katanya.