PRK Kemaman: Siapa pilihan pengundi ditentukan hari ini

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Seramai 141,043 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, hari ini.

Tepat pukul 8 pagi nanti, 49 pusat mengundi dengan 244 saluran akan dibuka sehingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK itu boleh mencapai sehingga 70 peratus, namun bergantung kepada keadaan cuaca, yang diramalkan hujan sepanjang hari di kawasan parlimen berkenaan hari ini.

Secara keseluruhan 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, enam anggota tentera dan tiga pasangan mereka serta 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagaimanapun semua anggota polis dan tentera yang layak mengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing melalui undi pos sebelum ini manakala tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera telah mengundi awal di Balai Polis Kijal, 28 Nov lepas.

PRK berkenaan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Ia diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15.

PRK Kemaman merupakan PRK keenam diadakan selepas PRU15 pada 19 November lepas, selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan serentak pada 9 September, PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober dan PRK Parlimen Jepak pada 4 November. - Bernama