Contohi pendekatan Singapura laksana Digital ID ‘Singpass’

Iklan
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Sabtu.

PELAKSANAAN Identiti Digital Nasional atau Digital ID di negara ini dilihat satu langkah memberangsangkan dibuat kerajaan dalam usaha memacu ke arah transformasi digital.

Digital ID adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital yang bakal dimanfaatkan oleh sektor awam serta swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi dalam talian.

Iklan
Iklan

Pada 21 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D), Mimos Bhd untuk mempercepat pelaksanaan Digital ID, memperkasakan transformasi digital serta membangunkan inisiatif digital terutamanya melibatkan urusan dengan kerajaan.

Meskipun terdapat kegusaran dalam kalangan masyarakat yang mendakwa akan berlaku kebocoran data peribadi, kenyataan itu akhirnya dibidas Anwar ketika beliau mencuba sendiri peranti Digital ID, menjadikannya individu pertama memiliki dan mendaftar dalam sistem berkenaan.

Iklan

Anwar menegaskan, sebarang kebimbangan terhadap pelaksanaan Digital ID apabila tular desas-desus bahawa cip akan diimplan dalam tubuh badan adalah tuduhan tidak berasas dan palsu.

Menurutnya, masyarakat perlu menerima kenyataan bahawa negara perlu bergerak maju seiring perkembangan semasa, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penggunaan teknologi terkini.

Iklan

Bagaimanapun, jelas Menteri Kewangan tersebut, kerajaan setakat ini tidak memaksa mana-mana individu untuk mendaftar ke dalam sistem berkenaan melainkan penjawat awam keseluruhannya digalakkan berbuat sedemikian.

Hal ini kerana menurut beliau, segala transaksi kewangan daripada kerajaan seperti pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan segala bentuk subsidi bersasar akan disalurkan menerusi Digital ID terbabit.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerangkan, pelaksanaan Digital ID tidak memerlukan perakaman biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah atau iris pengguna, sebaliknya hanya memerlukan MyKad dan imbasan cap jari untuk kesahihan, prosedur sama seperti pengguna menjalankan urusan di bank.

Ujar beliau, pengguna sekadar perlu memuat turun aplikasi MyDigital ID dan mengimbas kod QR bagi mendaftar serta mencipta akaun baharu dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Tambahnya lagi, dengan adanya MyDigital ID, orang awam dengan pantas boleh mengakses aplikasi MyJPJ, MyJalan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya tanpa perlu mengingat kata laluan di aplikasi berbeza kerana ia memerlukan satu kali log masuk sahaja.

Sementara itu, Pakar Keselamatan Siber, Fong Choong Fook turut menyatakan bahawa Digital ID di negara ini selamat untuk digunakan dan mampu melindungi data peribadi pengguna, namun perlu dijelaskan dengan lebih terperinci mengenai fungsinya kepada orang ramai.

Menurutnya lagi, Digital ID bukan satu perkara baharu untuk dilaksanakan di sesebuah negara, memandangkan Singapura telah menjayakannya menerusi ‘Singpass’ sejak lebih dari 15 tahun lalu.

Namun, ulas beliau, kerajaan perlu menilai agensi atau organisasi yang bertanggungjawab untuk menguruskan Digital ID di negara ini dengan lebih teliti kerana tidak mahu insiden kebocoran data peribadi pengguna berlaku lagi sepertimana kejadian melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum ini.

Apa pun, pendekatan kerajaan mentransformasikan negara ke arah digitalisasi mampu membawa nama Malaysia gah setanding Singapura, United Kingdom, Estonia, Kanada dan India menerusi Digital ID dari segi kecanggihan penggunaan teknologi.

Justeru, negara-negara terbabit terutamanya Singapura wajar dijadikan contoh dan rujukan pihak kerajaan atau masyarakat di luar sana untuk meneliti dengan lebih dalam mengenai definisi serta penggunaannya yang jelas memudahkan orang ramai kelak.