Pusat undi PRK Kemaman dibuka

Iklan
Pasangan suami isteri, Kasmani Che Mat, 61, (kiri) dan suaminya, Omar Muhamad Hussin, 66, beratur di luar Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P040 Kemaman hari ini. - Foto Bernama

CHUKAI - Kesemua 49 pusat mengundi dengan 244 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, dibuka 8 pagi ini.

Ia melibatkan pusat mengundi di empat kawasan Dewan Undangan Negeri di Parlimen berkenaan iaitu Kemasik, Kijal, Chukai dan Air Putih, yang akan ditutup pada 6 petang ini sebaik tamat tempoh mengundi.

Iklan
Iklan

Sebanyak 2,102 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dilantik bagi mengendalikan proses pengundian berkenaan yang membabitkan 141,043 pengundi.

Sebelum ini 387 anggota Polis Diraja Malaysia dan enam anggota tentera yang sepatutnya mengundi awal pada 28 November, diarah melaksanakan undi secara pos bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.

Iklan

Pada 28 November lepas, proses pengundian awal tetap dijalankan di Balai Polis Kijal, di sini melibatkan hanya tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Iklan

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15. - Bernama