JEMPOL - Negeri Sembilan sedia dikunjungi pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 bersesuaian dengan tahap kebersihan di negeri itu yang begitu baik.
Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, terdapat banyak kemajuan dan perubahan dari segi kebersihan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Iklan
Iklan
"Walaupun ada sedikit kekurangan namun ada perubahan contohnya di Pantai Port Dickson yang dahulunya aduan berhubung sampah begitu banyak kini boleh dikatakan mencapai tahap sifar aduan.
"Tambahan pula terdapat beberapa langkah dan penambahbaikan telah dibuat oleh kerajaan Negeri Sembilan mengenainya dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya kepada pemberita selepas selesai lawatan kerja di Bahau di sini hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin.
Kok Seong berkata, kerajaan negeri mahu masyarakat mengambil perhatian serius soal kebersihan kerana merupakan tanggungjawab semua pihak.
"Kebersihan merupakan antara yang dititikberatkan oleh kerajaan Negeri Sembilan bersesuaian dengan slogan kita iaitu bersih, muafakat dan sejahtera," katanya.