KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Seorang warga emas sanggup beratur seawal 7.30 pagi di hadapan pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Kijal, dekat sini demi menunaikan tanggungjawab.
Pesara kerajaan, Kamariah Yusuf, 64, berkata, dia keluar awal bagi mengelak hujan yang diramalkan berlaku pada Sabtu.
"Alhamdulillah... cuaca pagi ini baik sebab itu saya tiba awal di pusat mengundi.
"Takut hujan pula berlaku pada tengah hari atau petang. Jadi lebih baik datang awal sebab urusan pun berjalan mudah dan lancar.
"Seawal jam 5 pagi tadi saya dah bangun sebab semangat nak undi. Saya juga dah pesan pada anak-anak balik mengundi hari ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas selesai membuang undi di sini pada Sabtu.
Berkongsi pandangan sama, seorang lagi pengundi, Mat Husain Bedul, 60-an berkata, dia datang awal kerana mempunyai urusan kerja yang perlu diselesaikan pada sebelah petang.
"Sebelum pergi kerja, saya segera datang ke pusat pengundian dan tiba jam 8 pagi tadi. Buka sahaja pusat pengundian terus masuk dan tidak sabar nak undi.
"Proses di sini berjalan baik malah petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini ramah-ramah belaka. Cuaca pun baik pada pagi ini, jadi memudahkan orang ramai tunaikan hak dan tanggungjawab mereka," ujarnya.
PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.
Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.