Padang becak sukarkan Kelantan United FC

Iklan
Keadaan padang yang becak menjadi antara faktor yang dikatakan KUFC gagal menyaingi NSFC dalam aksi Liga Super malam tadi.

PERSIAPAN yang tidak sempurna serta padang becak gagal memberi kelebihan kepada pasukan Kelantan United FC (KUFC) untuk menjaringkan gol ketika bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.

Penolong Pengurus KUFC, Nik Khuzaimi Nudin berkata, anak buahnya sudah melakukan yang terbaik, namun pemain Negeri Sembilan yang bermain dengan bertahan menyukarkan kami untuk mencari jaringan.

Iklan
Iklan

"Pemain kurang latihan bersama bola dan hanya berlatih tiga kali seminggu di padang selain terpaksa menjalani latihan 'indoor'," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, menyaksikan KUFC gagal menyaingi pasukan pelawat apabila tewas 0-4 kepada skuad kendalian K Devan sekali gus menjadi kekalahan kedua bertemu Negeri Sembilan dalam saingan liga.

Iklan

Mengulas insiden kad merah yang dilayangkan kepada Ariff Ar-Rasyid Ariffin minit ke-76, Nik Khuzaimi mengakui tidak dia tidak nampak insiden berkenaan.

"Tiba-tiba pengadil meniup wisel dan kad merah dilayangkan tetapi saya akan tengok semula rakaman insiden itu," katanya.

Iklan

Sementara itu, Ketua Jurulatih NSFC, K Devan mengakui berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan pemainnya sekali gus menambah tiga mata kepada pasukan.

Menurutnya, keadaan padang yang becak memaksanya menukar taktikal permainan dan pemain berjaya melakukan dengan baik,

"Jika tidak dapat melakukan hantaran pendek, kita cuba hantar bola ke belakang dan serangan lebih cepat. Keadaan padang juga tidak memberi peluang kita melakukan serangan balas yang lebih baik," katanya.

Beliau turut memuji R Barathkumar yang sentiasa melakukan serangan dan sentiasa mendapat peluang berhampiran gol pihak lawan.

"Barathkumar ada kualiti dan merupakan pemain yang berpengalaman," katanya.

Ketika ditanya mengenai musim terakhir beliau bersama NSFC, Devan memberitahu belum ada sebarang perancangan dan masih menunggu perbincangan NSFC.

"Ada banyak khabar angin mengenai tawaran daripada kelab lain tetapi saya belum membuat keputusan, masih tunggu NSFC," katanya.