IPOH - Spekulasi berhubung rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan hanya boleh dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebarang perubahan dalam barisan kepimpinan negara itu merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri.
"Rombakan Kabinet adalah kuasa penuh dan budi bicara Perdana Menteri.
"Oleh kerana itu, satu-satunya insan dalam dunia mampu menjawab soalan ini adalah Anwar Ibrahim," katanya ringkas kepada pemberita selepas menyempurnakan Larian Perpaduan Aspirasi #PR1MAKita dan Majlis Perasmian Bomba Komuniti di Residensi Meru di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Mengulas lanjut beliau berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri setakat ini.
Media melaporkan Anwar bersetuju rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan mungkin dibuat sebelum hujung tahun ini.
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Tambun itu ketika menyantuni seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang menantikan Anwar bersama pengamal media selepas menunaikan solat Jumaat Surau Putra Al-Amin Fasa 4 di Putrajaya.
Terdahulu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, penstrukturan semula Kabinet merupakan satu keperluan yang perlu dilaksanakan segera memandangkan terdapat kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.