KLANG - Seorang penjenayah bertindak menyembur api ke arah pekerja kedai runcit sebelum dua rakan jenayahnya mengambil wang dan barang dalam kejadian di Kampung Johan Setia, di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari.
"Salah seorang suspek tiba-tiba mengeluarkan pemetik api dan botol penyembur nyamuk lalu membakarnya di hadapan mangsa untuk menakutkannya.
"Pada masa sama, dua suspek telah masuk ke dalam kawasan kaunter dan mengambil duit, dua karton rokok, tiga tabung derma serta telefon bimbit mangsa yang dianggar bernilai RM800," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan sebelum kesemua suspek kemudian terus melarikan diri menaiki kenderaan jenis Perodua Alza.
Tambahnya, susulan itu, satu laporan polis diterima pada Khamis oleh pemilik kedai runcit mengenai kejadian terbabit.
Susulan itu, pada hari yang sama bertindak atas maklumat, kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menahan seorang suspek yang memiliki 11 rekod jenayah dan tujuh rekod dadah di Kuang, Selangor.
"Seterusnya, pada jam 11 malam, dua lagi suspek ditahan di Bukit Tinggi, Klang," ujarnya.
Kata Hoong Fong, ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 35 tahun kini direman lima hari sehingga 5 Disember untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.