KOTA BHARU - Klip audio bunyi seekor harimau mengaum di Gua Musang yang tular sejak Jumaat adalah video lama.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, siasatan dijalankan selepas menerima perkongsian itu dan mendapati ia video lama yang kembali ditularkan.
"Saya berharap orang ramai tidak menularkan video lama atau tidak sahih berkait dengan harimau.
"Kita tidak mahu penduduk di kawasan terlibat menjadi panik dengan situasi tersebut," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Pada Jumaat tular satu video berdurasi 20 saat yang memaparkan seekor harimau sedang mengaum.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, enam kes termasuk lima kematian akibat serangan harimau direkodkan berlaku di Gua Musang dalam tempoh dua tahun bermula Julai 2021.
Jumlah itu termasuk kes terbaharu melibatkan seorang pekerja ladang getah warga Indonesia yang ditemukan maut pada Rabu.
Kes serangan bermula pada 5 Julai 2021 di Kampung Sau, Pos Bihai melibatkan kecederaan parah seorang lelaki Orang Asli dan harimau belang betina yang menyerang mangsa berjaya ditangkap serta ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.
Pada 7 Januari 2022, di kampung sama seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau belang dan binatang itu terpaksa ditembak kemudiannya selepas cuba menyerang anggota Perhilitan semasa operasi.
Tanggal 5 Oktober 2023 di Pos Pasik melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli dan kes seterusnya membabitkan seorang lagi pekerja ladang warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, maut dibaham harimau di kawasan ladang kebun getah di Kuala Wok, Pos Pasik pada 10 November lalu.
Selang sehari selepas itu, buruh ladang warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, maut selepas diserang binatang buas itu ketika menoreh getah di Ladang Meranto pada 12 November lalu.