SHAH ALAM - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin industri kelapa sawit akan terus berkembang positif tahun depan susulan kenaikan harga sawit mentah yang mencecah sehingga RM3,003 satu tan sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga komited dalam melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan seperti memperkenalkan biodiesel B20 di Malaysia bagi mewujudkan permintaan pasaran yang kukuh.
"Alhamdulillah, harga minyak sawit mentah telah mencecah RM3,003 satu tan beberapa hari yang lalu.
"Saya dimaklumkan terdapat peneroka-peneroka Felda seperti di Felda Kota Air Tawar, Kota Tinggi yang telah menggandakan hasil bulanan masing-masing ekoran kenaikan ini," katanya menerusi catatan di laman Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, sentimen positif yang ditunjukkan melalui kenaikan harga sawit mentah sejak kebelakangan ini akan memberi pulangan dinanti-nantikan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam industri berkenaan khususnya pekebun kecil.
"Saya yakin sentimen positif ini akan berterusan pada tahun 2020 di mana manfaatnya akan terus dinikmati 'stakeholders' industri kelapa sawit seperti peneroka-peneroka Felda dan pekebun-pekebun kecil yang lain," katanya.
Media sebelum ini melaporkan harga minyak sawit mentah melonjak melepasi paras RM3,000 satu tan untuk ditutup pada RM3,003 dalam dagangan Khamis lalu adalah harga tertinggi dalam tempoh tiga tahun.
Harga itu, sekali gus berada pada paras penutup tertinggi baharu dalam tempoh tiga tahun.
Lonjakan harga itu didorong kebimbangan kekangan bekalan yang menyebabkan pelabur terus membeli lebih banyak komoditi berkenaan menjelang akhir tahun.