PRK Kemaman perintis sistem pengurusan pilihan raya baharu - SPR

Iklan
Abdul Ghani tinjau proses di SMK Geliga, Chukai pada Sabtu. - Foto Bernama

CHUKAI - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sebagai ujian rintis, untuk menambah baik sistem pilihan raya di negara ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sistem pendigitalan yang pertama kali digunakan itu bagi memudahkan petugas SPR dalam melaksanakan urusan berkaitan proses pilihan raya, sekali gus mempercepat keputusan pengundian diumumkan.

Iklan
Iklan

"Sistem baru ini kita akan beritahu kemudian kerana ini kali pertama kita meneliti semua maklumat itu dalam sistem kita dan lihat kelancaran dahulu, sebab sebelum ini pegawai pembimbing kita yang masukkan data-data, jadi ini kali pertama, kalau berjaya nanti insya-ALLAH(akan umum).

"Kita ada sistem yang baru ini, jadi insya-ALLAH kita akan tahu keputusan lebih awal tetapi dari segi undang-undang kena tunggu peti undi sampai ke pusat penjumlahan undi,” katanya kepada media selepas melawat proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga di sini hari ini.

Iklan

Mengenai perjalanan proses pengundian hari ini, Abdul Ghani berkata, trend keluar mengundi pada PRK Kemaman meningkat sekitar lapan peratus setiap jam, dengan semua saluran menunjukkan momentum yang sama.

Setakat 12 tengah hari, sebanyak 35 peratus pengundi keluar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing di 49 pusat mengundi di empat Dewan Undangan Negeri Kemaman.

Iklan

Justeru Abdul Ghani menasihatkan lebih ramai pemilih termasuk di luar Kemaman, untuk keluar mengundi sementara cuaca masih baik dan sebelum pusat pengundian ditutup pada 6 petang nanti.

"Di Terengganu ni Sabtu masih cuti, jadi majikan juga tidak ada masalah nak melepaskan pekerja untuk mengundi.

"Setakat ini ikut saluran satu, dua dan tiga termasuk saluran orang muda momentum dia sama sahaja,” katanya. - Bernama