MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka sentiasa berusaha untuk meningkatkan ekonomi rakyat dengan menyasarkan kemasukan pelaburan sebanyak RM5 bilion sepanjang tahun ini.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, sektor pelaburan termasuk industri akan diberikan tumpuan utama yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri dan pembangunan ekonomi sekali gus mampu menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan membangunkan kawasan-kawasan industri di negeri ini.
"Memang kita berusaha membawa lebih banyak pelabur ke Melaka dan 2019 kita menjangkakan sekitar RM5 bilion pelaburan ke Melaka.
"Bagi kita membangunkan negeri dan ekonomi perlu dilakukan dengan membawa lebih banyak pelaburan di peringkat negeri,” katanya ketika menjawab mengenai hala tuju Melaka baharu pada sesi Sinar Live di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini.
Adly berkata, biarpun sektor pelancongan tidak memberi impak secara terus kepada pendapatan negeri namun memberikan kesan ekonomi berskala besar kepada rakyat.
Menurutnya, pelancong yang datang ke negeri ini sudah pasti dapat memacu ekonomi rakyat menerusi perbelanjaan pelancongan Melaka seperti makanan, pembelian barangan, penginapan dan sebagainya.
"Rakyat sama ada golongan peniaga atau masyarakat secara umumnya yang memberikan perkhidmatan seperti beca sebagai contoh tetapi dengan jumlah pelancongan yang ramai menggunakan perkhidmatan beca, dapat menambahkan pendapatan mereka.
"Walaupun kerajaan negeri tidak mendapat apa-apa melainkan sedikit daripada cukai (beca) tetapi yang penting mereka dapat meneruskan kehidupan dengan adanya sektor pelancongan itu,” katanya.
Adly berkata, selain itu, sektor pendidikan termasuk pendidikan agama akan diberikan penekanan untuk dipertingkatkan dalam melahirkan lebih ramai anak Melaka yang cemerlang.
Katanya, program pemberian tuisyen percuma yang dimulakan sejak tahun lalu juga akan diperluaskan lagi.
"Begitu juga keselamatan dan perpaduan yang akan diberikan fokus kerana ia mempengaruhi sektor ekonomi negeri.
"Seperti kawasan rukun tetangga (KRT) kerana ia melibatkan komuniti pelbagai kaum, pengisian dan akan diperhebatkan lagi, bila ada perpaduan jenayah akan berkurangan,” katanya.