KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dikenakan hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya berusia 14 tahun.
Selain itu, tertuduh berusia 23 tahun turut diarahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Keputusan itu dibuat Hakim, Wan Azimah Yaacob selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus, jam 9.30 malam pada 5 November 2018.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Holey Issac.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar tingkatan dua menjadi mangsa serangan seksual bapa saudaranya selepas dipaksa memegang kemaluan lelaki terbabit dalam kejadian di Kuala Nerus.
Mangsa yang berseorangan di rumah didatangi suspek ketika ahli keluarga yang lain melawat ibu saudara mangsa yang juga isteri suspek.
Dalam kejadian itu, suspek bertindak mengambil sehelai kain dan menutup mulut anak saudaranya itu sebelum menolak mangsa di sofa di ruang tamu selain turut mengugut akan membunuh mangsa sekiranya dia membuat bising dan memaksa remaja itu memegang kemaluannya.