DENPASAR - Sebuah hotel dan resort mewah yang terletak di Bali, Amankila, kini menjadi tumpuan menjelang pernikahan Bunga Citra Lestari dan Tiko Aryawardhana yang dilaporkan akan dilangsungkan petang ini.
CNN Indonesia melaporkan lokasi pernikahan BCL dan Tiko didedahkan oleh Pengerusi PHRI (Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia) Kabupaten Karangasem, Bali, I Wayan Kariasa.
"Saya bertanya kepada sumber terdekat, nampaknya akan dilangsungkan di sana (Amankila)," tambahnya.
Menyelenggarakan majlis perkahwinan mewah yang dihadiri artis terkenal tentunya memerlukan keselamatan tambahan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Manggis, Kompol Agung Budiarto menyatakan bahawa belum ada sebarang permintaan bantuan keselamatan berhubung majlis perkahwinan BCL dan Tiko.
"Tiada permohonan buat masa ini, kebiasaannya begitu untuk acara tertutup. Kalau ada permintaan, hotel akan (buat permohonan). Kami pun belum ada maklumat itu,” katanya.
Sebelum ini, media Indonesia mendedahkan bahawa semua dokumen yang diperlukan untuk pernikahan BCL dan Tiko telah diisytiharkan lengkap oleh Syahrul Muharam, Ketua Kantor Hal Ehwal Agama (KUA) di Mengwi, Kabupaten Badung, Bali.
"Semua dokumen sudah lengkap. Cuma tinggal menjalankan majlis perkahwinan," kata Syahrul Muharam ketika ditemu bual Rabu lalu. - Awani