KUANTAN - Program Jualan Rahmah yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan jumlah jualan sebanyak RM178.6 juta setakat 30 November lepas.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu telah memanfaatkan 5.6 juta pengunjung selepas ia dianjurkan di hampir 4,000 lokasi di seluruh negara.
"Kementerian akan habiskan peruntukan program ini sebanyak RM150 juta supaya dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah syarikat pemborong di Indera Mahkota di sini pada Sabtu.
Karnival itu yang diadakan hingga esok di Dataran Sayangi Kuantan di sini menurut beliau, menyasarkan 5,000 pengunjung dengan 60 item dijual dan menawarkan potongan harga hingga 30 peratus.
Sementara itu, mengulas mengenai isu bekalan ayam belanda menjelang perayaan Krismas, Fuziah berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sudah memohon import dari Turkiye, namun setakat ini belum dapat dibawa masuk.
"Selalunya kita import dari Amerika Syarikat, tetapi pada 2021 kita ada larangan import kerana ayam belanda di sana terkena jangkitan selesema burung, kita tak nak import ayam belanda yang berpenyakit.
"Di Malaysia pula ada ladang ayam belanda di Perak, tetapi tidak cukup untuk menampung permintaan kerana sekali pengeluaran hanya lebih 1,000 ekor... masalah bekalan kurang ini berlaku disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan," katanya. - Bernama