BESUT - Sekumpulan pesawah di Kampung Gong Ubi Keling di sini terkilan kerana tidak sempat menuai hasil tanaman padi yang telah matang susulan ditenggelami air dalam bencana banjir yang melanda minggu lalu.
Asmadi Sidek Amat, 39, berkata, banjir yang berlaku lebih awal memusnahkan tanaman padi seluas 12 hektar yang diusahakan kira-kira 10 pesawah di kampung berkenaan.
Menurutnya, kawasan sawah tersebut mudah dinaiki air kerana kedudukannya berada berdekatan dengan sungai Bukit Jeruk.
"Apabila hujan lebat sistem perparitan dan air sungai akan melimpah menyebabkan sawah ditenggelami air sehingga paras pinggang dewasa.
"Lepas banjir surut kita lihat banyak pokok-pokok padi rosak dan ada yang bertunas. Walaupun begitu, padi-padi itu sudah tiada kualiti dan sebahagiannya tidak dapat dituai.
"Kebanyakan padi yang diusahakan penduduk di sini musnah dengan anggaran jumlah kerugian ditanggung mencecah puluhan ribu ringgit," katanya.
Bagaimanapun, Asmadi berkata, mereka pasrah dengan situasi yang melanda dan menganggap tiada rezeki untuk mereka musim ini.
"Dalam lima, enam tahun lepas pernah berlaku banjir di sini. Kami tak jangka akan lalui pengalaman begini. Kami bersyukur dan mungkin ada rezeki di masa akan datang.
"Kami juga akan mohon bantuan di bawah tabung bencana pertanian kerajaan negeri. Kalau ada rezeki, saya harap dapat ringankan kos yang ditanggung," ujarnya.
Sementara itu, Rosman Musa, 50, berkata, setiap petani dianggarkan berdepan kerugian antara RM7,000 hingga RM10,000 kerana padi yang telah matang tidak sempat dituai dan ditenggelami air.
Katanya, kebanyakan pesawah di kawasan itu hanya sempat menuai sebahagian kecil padi yang diusahakan sebelum dilanda banjir.
"Kita tidak jangka banjir akan berlaku secara mengejut kerana tahun-tahun yang lalu banjir akan berlaku pada Disember, namun pada kali ini ia berlaku lebih awal.
"Kelewatan untuk proses tuai hasil ni disebabkan beberapa faktor teknikal seperti kekurangan jentera padi. Sebab itu, ada antara kami yang tak sempat tuai hasil," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gong Ubi Keling, Mat Zain Ismail, 4, berkata, mereka perlu mengeluarkan modal baharu untuk memulihkan kembali sawah yang rosak kerana dinaiki air.
"Walaupun padi yang ditanam pada musim kedua tidak mendapat hasil, kita perlu cari modal baharu untuk membajak tanah dan membeli anak benih baharu.
"Dalam keadaan begini, kita harap pihak berkenaan dapat bantu kami untuk cari jalan penyelesaian bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang seterusnya dapat mengelak risiko kerugian," katanya.