KUALA LUMPUR - Selepas lebih 24 jam Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid menemui ajal semasa bermain papan selaju (skateboard) di Townsville, Queensland, Australia, pihak keluarganya masih menunggu bantuan Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra.
Ibu remaja berusia 16 tahun itu, Furhzunatul Natasha Mohd Sazali ketika dihubungi Bernama dari sini petang ini berkata, dia buntu bagaimana hendak menguruskan jenazah anaknya untuk dibawa pulang ke Malaysia.
"Tadi saya berurusan dengan seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang berkata terdapat beberapa prosedur yang perlu ikuti.
"Dia juga menyebut tentang tabung yang dikatakan tidak mencukupi, jadi apa yang saya perlu lakukan sekarang, dalam cara apa anda mahu membantu saya?," tanya beliau dalam nada sebak.
Mohammad Farhan Fudhail merupakan pelajar Sekolah Antarabangsa Kuantan, Pahang dan dilaporkan ke Australia awal bulan ini bersama adiknya bagi menemui ibunya itu yang bekerja sebagai jururawat di sana.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Malaysia maut ketika main 'skateboard' di Australia
Bernama sebelum ini melaporkan Wisma Putra akan membantu membawa pulang jenazah remaja yang maut semasa bermain papan selaju di Townsville, Queensland, Australia semalam.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah turut berkata, perkara itu bergantung kepada keluarga mangsa terlibat, sama ada mahu membawa pulang atau mengebumikan jenazah di negara berkenaan.
Media Australia hari ini melaporkan Mohammad Farhan Fudhail dari Kuantan bermain papan selaju bersama rakannya maut selepas terlanggar pada tiang 'bollard’.
Siasatan awal polis Queensland mendapati remaja berkenaan cuba memperlahankan papan selajunya semasa meluncur ketika menuruni bukit sebelum terlanggar tiang itu. - Bernama