RANTAU PANJANG - Mangsa banjir di Kelantan kini mencecah 2,094 orang dengan jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,820 orang pada Sabtu.
Penduduk di Kampung Tersang di sini, Nor Hisyam Abdullah, 36, berkata, setakat ini bot menjadi pengangkutan utama penduduk untuk keluar masuk.
Menurutnya, laluan utama iaitu melibatkan jalan Rantau Panjang Lama, Tersang ke Jeram Perdah hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat dan pacuan empat roda sahaja.
"Jika hujan berterusan, saya tidak menolak kemungkinan kawasan ini akan terputus hubungan," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, peningkatan agak cepat itu disebabkan Sungai Lancang menjadi 'pusat pengumpulan' air dari Batu Hampar di Tok Uban, Kalbox Lima dan Sungai Golok.
Ujarnya, kesemua penduduk di kawasan perkampungan itu sudah berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh.
Sementara itu, menurut Info Bencana JKM setakat jam 9.40 malam, kesemua mangsa itu terdiri daripada 644 keluarga.
Selain Pasir Mas, Bachok menempatkan 221 mangsa, Tanah Merah (22), Kota Bharu (19) dan Machang (12).
Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang sudah melepasi tahap amaran apabila mencatatkan paras 10.33 meter.
Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dan Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu juga melepasi paras amaran.