Rakyat 'pemilik rumah', kakitangan awam 'orang gaji'

Iklan
Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berucap pada Kongres Jawi Kebangsaan di sini hari ini.

PETALING JAYA - Kolumnis Sosial, Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi mempersoalkan wakil rakyat dan kakitangan awam di Malaysia sama ada mereka memahami konsep demokrasi atau sebaliknya.

Menggunakan analogi negara sebagai sebuah rumah, Mohd Tajuddin menjelaskan bahawa rakyat adalah 'pemilik rumah', manakala kakitangan awam pula adalah 'orang gaji' di dalam rumah tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, wakil rakyat pula adalah 'penjaga' yang diambil semasa rakyat meninggalkan rumah mereka untuk satu masa yang panjang.

"Mungkin saya salah, tak tahulah tapi saya beri analogi sebegini. Kita semua ada rumah. Rumah itu pertamanya ada pemilik rumah. Kemudian pemilik rumah akan gajikan orang gaji dan kadang-kadang bila tinggalkan rumah, dia boleh ambil penjaga rumah.

Iklan

"Jadi, analogi sedemikian, kalau kita anggap rumah itu sebagai negara, siapa pemilik negara atau rumah itu? Pemiliknya adalah rakyat,” katanya ketika berucap pada Kongres Jawi Kebangsaan di sini hari ini.

Katanya, sudah tentu 'pemilik rumah' akan berasa hairan apabila orang gaji (kakitangan awam) mengajak pemilik rumah untuk mengubah suai rumahnya.

Iklan

"Eh, mana boleh ‘renovate’, itu rumah aku. Pernah pergi ke Putrajaya, nak masuk ke parkir, dia tulis kakitangan awam sahaja.

"Itu seolah-olah kita balik rumah kita, nak masuk parkir, orang gaji kata tak boleh tuan, ini semua orang gaji punya parkir,” katanya disambut ketawa dan tepukan peserta kongres.

Kongres Jawi Kebangsaan diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) pada tahun depan.

Enam penceramah termasuk Mohd Tajuddin dan Aktivis Sosial, Siti Zabedah Kassim diundang menyuarakan pandangan mereka.

Sementara itu dalam ucapan sama, Mohd Tajuddin menegaskan, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tidak meminta peruntukan dan jawatan tetapi hanya meminta maruah mereka sebagai rakyat Malaysia.

Mengambil contoh Kongres Maruah Melayu sebelum ini, beliau mendakwa, banyak permintaan termasuk peruntukan disuarakan dalam program tersebut, bagaimanapun permintaan sebegitu tidak disuarakan Dong Zong yang membantah pelaksanaan tulisan jawi di sekolah vernakular.

"Kongres Maruah Melayu menuduh macam-macam, minta macam-macam. Dia minta belajar itu, belajar ini. Dia minta jawatan itu, jawatan ini, peruntukan itu, peruntukan ini, semua untuk satu kaum sahaja.

"Saya nak tanya anda, ada tak Dong Zong dan Sekat (Gabungan Seni Khat Action Team) minta peruntukan itu, peruntukan ini, jawatan itu, jawatan ini?

"Dia cuma minta maruah mereka sebagai rakyat Malaysia. Itu sahaja,” katanya.