RAFAH - Tindakan Israel membedil Genting Gaza dengan alasan ia berhak mempertahankan diri dari pejuang Hamas bukan sahaja meragut belasan ribu nyawa manusia, malah ia turut membunuh haiwan-haiwan yang ditempatkan di sebuah zoo.
Difahamkan Zoo Gaza yang menempatkan sekitar 100 spesies gagal diuruskan dengan baik selepas rejim Zionis melancarkan kempen pengeboman tanpa henti di seluruh wilayah Palestin sejak 7 Oktober lalu.
Serangan Israel itu menyaksikan banyak haiwan mati sama ada dibom atau kelaparan.
"Tentera Israel menghalang pekerja kembali ke zoo, jika ingkar mereka akan menjadi sasaran peluru hidup.
"Tindakan ini menyebabkan haiwan-haiwan di zoo tidak dapat penjagaan yang sepatutnya," kata Datuk Bandar Gaza, Yahya Al Sarraj kepada Al Jazeera.
Tambah Yahya, pekerja kembali ke zoo berkenaan semasa jeda kemanusiaan dikuatkuasakan, namun ia sudah terlambat kerana banyak haiwan mati kelaparan.
"Semuanya telah terlambat. Haiwan yang masih hidup dapat dikira dengan jari," ujarnya.
Difahamkan, 90 peratus haiwan di Zoo Gaza telah mati, manakala beberapa haiwan seperti babun terlepas dari kurungan dan merayau sekitar jalan raya Gaza yang telah musnah.
Pada 2019, lebih 40 haiwan termasuk lima ekor singa dipindahkan daripada keadaan teruk di Zoo Rafah ke Jordan.
Menurut persatuan Four Paws yang menganjurkan pemindahan itu, semua 43 ekor haiwan terbabit termasuk seekor serigala dan beberapa ekor monyet berada dalam keadaan kurus dan lemah kerana tinggal dalam keadaan teruk.
Zoo Rafah di selatan Semenanjung Gaza adalah zoo tertua di wilayah itu yang dikepung Israel lebih 10 tahun. - Agensi