KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya mengekalkan mandat Pas dengan penambahan lebih 10,000 majoriti dijangka bakal menjadi modal baharu pembangkang bagi membuktikan penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sendiri meraikan kemenangan tersebut dengan menyatakan ia sebagai 'hadiah' ulang tahun pertama bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apatah lagi Perikatan Nasional (PN) sudah mula mengiktiraf Ahmad Samsuri sebagai individu yang layak dipertimbangkan sebagai calon Perdana Menteri masa depan seperti yang diakui oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Sudah pasti perkembangan ini sedikit sebanyak mampu menggugat parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya Barisan Nasional (BN) yang tidak senang duduk memikirkan hilangnya sokongan Melayu terhadap mereka.
Susulan kemenangan Ahmad Samsuri bagi Parlimen Kemaman, Hamzah juga menyifatkan kehadiran pemimpin itu dalam Dewan Rakyat bakal memberi nilai tambah berganda kepada kualiti PN.
Jika PN meneruskan naratif dengan mengangkat Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri, tentunya gelanggang Dewan Rakyat bakal menjadi saksi sejauh mana kredibiliti dan kemampuan Ahmad Samsuri membawa suara wakil rakyat pembangkang.
Namun, sekiranya PN mahu menggunakan kemenangan mereka di PRK Kemaman sebagai modal besar untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan sebelum tempoh matang penggal ini, ia bukan hal yang wajar dilakukan.
Kini bukan masanya untuk mengheret rakyat dalam kemelut politik setelah negara baru lega daripada beberapa siri pertukaran kerajaan disebabkan konflik politik sebelum ini.
PN perlu mengambil kira bahawa rakyat tidak hanya melihat prestasi kerajaan, tetapi juga menilai prestasi pembangkang.
Kebijaksanaan PN mengatur strategi dengan lebih matang menuju pilihan raya umum akan datang kira-kira empat tahun lagi, bakal menentukan sejauh mana mereka mampu menggenggam sokongan rakyat untuk merealisasikan hasrat mengambil semula tampuk kepimpinan negara.