Remaja 13 tahun tidak mengaku salah cuba rompak pemandu e-hailing

Iklan
Remaja lelaki 13 tahun dibawa keluar dari mahkamah selepas proses pendakwaan.

SUNGAI PETANI - Remaja 13 tahun yang dipercayai cuba merompak seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Ahad.

Remaja lelaki berkenaan yang diiringi kedua ibu bapa dilihat tenang ketika dibawa masuk ke mahkamah sebelum pertuduhan dimulakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia telah cuba melakukan suatu rompakan terhadap mangsa Lee Ang Hie, 65, di kawasan tepi jalan Taman Keladi jam lebih kurang 6 petang 27 November lalu.

Oleh yang demikian, dia telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Iklan

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Remaja 13 tahun mengaku tidak bersalah cuba merompak seorang pemandu e-hailing di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Ahad.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh manakala remaja itu diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Duratul Ain Mahmud Morshidi.

Iklan

Pihak pendakwaan memohon agar wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin namun Majistret Khairatul Animah Jelani membenarkan wang jaminan dikurangkan kepada RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, satu klip video yang memaparkan tindakan seorang remaja cuba mengacukan pisau kepada pemandu e-hailing dalam kenderaan di Taman Keladi di sini, menjadi tular di laman sosial.

Pemandu e-hailing yang merupakan warga emas berusia 65 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan kerana sempat menggigit tangan remaja berkenaan dan merampas pisaunya sebelum remaja itu melarikan diri.

Remaja itu ditahan kira-kira dua jam selepas laporan polis dibuat oleh warga emas berkenaan pada pukul 8 malam hari kejadian.