KUALA LUMPUR - Sepanjang tahun pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri ke-10, beliau telah mempamerkan kepimpinan mengagumkan dalam arena diplomatik, sekali gus mencerminkan komitmen untuk mengembalikan reputasi Malaysia di pentas antarabangsa dan terlibat dalam diplomasi di peringkat serantau secara proaktif.
Sejak mengambil alih jawatan pada 24 November 2022, pendekatan proaktif Perdana Menteri berusia 76 tahun itu terhadap isu-isu global dan hal ehwal serantau menerima banyak pujian daripada pelbagai pihak, mengatasi pencapaian diplomatik yang ditetapkan pemimpin terdahulu.
Dedikasi Anwar jelas terlihat menerusi lawatan diplomatik yang melibatkan negara-negara seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Turki, Filipina, Arab Saudi, Kemboja, Laos, Vietnam, China, Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.
Kepantasan berterusan itu bukti jelas komitmen Anwar bagi mendapatkan kembali kedudukan Malaysia yang diterjemahkan beliau dalam setiap keputusan untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan jiran-jiran di Asia Tenggara melalui lawatan rasmi luar negara pertamanya ke Jakarta dari 8 hingga 9 Januari.
Ahli geostrategi, Profesor Dr. Azmi Hassan yang mengulas mengenai pencapaian itu turut memuji pendekatan diplomatik perdana menteri.
"Saya rasa dengan aura yang ada pada Anwar ini, beliau berjaya memperlihatkan pencapaian yang baik di peringkat antarabangsa dan juga serantau, sama ada di Indo-Pasifik atau Asia-Pasifik mahupun Asia Tenggara," katanya.
Azmi turut menekankan mengenai inisiatif diplomatik Anwar, termasuk mendukung pemusatan ASEAN, menangani krisis Myanmar, konflik selatan Thailand dan mengendalikan isu Laut China Selatan secara berhemah, inilah yang membezakan beliau dengan pemimpin sebelum ini.
Sebelum ini, perdana menteri menyatakan hasratnya mahu terus mengukuhkan hubungan dengan China dan Amerika Syarikat (AS) tanpa memilih mana-mana pihak dan interaksi dengan kedua kuasa besar itu memberikan Malaysia lebih banyak ruang strategik untuk memajukan kepentingan nasionalnya.
Anwar sering mendapat pujian kerana menumpukan kepada peluang intraserantau dan institusi dalam perdagangan dan pelaburan di tengah-tengah persaingan AS-China.
"Mengenai sama ada Malaysia bersama Amerika atau China, saya percaya dasar kita tidak memihak sesiapa pun atau mungkin boleh saya katakan di sini, kita sangat neutral. Kita tidak memihak Amerika Syarikat mahupun China, tetapi kita tetap mengekalkan hubungan yang mesra dengan kedua-dua pihak kerana ia memberi manfaat kepada kita," kata Azmi.
Ahli geostrategi itu turut menekankan mengenai kepentingan mengadakan pertemuan secara bersemuka untuk menyampaikan kestabilan Malaysia serta daya tarikan pelaburan dan pendekatan Anwar dalam mengetengahkan permintaan dan idea kepada pemimpin dunia lain ternyata berkesan.
Perdana Menteri juga lantang bersuara menyokong perjuangan Palestin, mengutuk serangan Israel di platform antarabangsa seperti dialog tidak rasmi Minggu Pemimpin Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan jamuan tengah hari yang diadakan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Semasa mesyuarat itu, Anwar mengejutkan para pemimpin dengan mengutuk serangan Israel ke atas Palestin dan menyeru gencatan senjata di hadapan Presiden AS Joe Biden dan pemimpin negara anggota ekonomi yang lain.
Satu kenyataan bersama oleh pemimpin Malaysia, Indonesia dan Brunei yang menyeru gencatan senjata segera dan berkekalan di Gaza turut dikeluarkan semasa APEC, menunjukkan betapa Malaysia dan dua negara jiran terdekatnya serius memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Anwar juga konsisten mengetengahkan isu Palestin di pelbagai perhimpunan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam.
Beliau turut tidak ketinggalan menyertai Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali kelapan yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi, untuk membincangkan mengenai serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.
Selain isu Palestin, hubungan mesra Anwar dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan turut menerima pujian, yang tergambar menerusi lawatan peribadi ke Turkiye pada Februari lepas, sebagai tanda sokongan kepada mangsa gempa bumi.
Anwar yang menyifatkan Erdogan bagaikan sahabat sejati dan memuji Turki sebagai negara Islam moden dan progresif yang boleh memainkan peranan konstruktif dalam hal ehwal antarabangsa.
Satu lagi pencapaian penting dalam lawatan diplomatik Anwar menerusi lawatan rasmi empat hari beliau ke China pada April, menyaksikan beliau bertemu dengan para pemimpin China termasuk Presiden Xi Jinping.
Lawatan itu membawa manfaat besar kepada Malaysia yang menghasilkan komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion (US$51.2 bilion) melalui 19 memorandum persefahaman yang dimeterai antara perniagaan di kedua-dua negara, terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan ekonomi digital.
Selain usaha diplomatik luar negara Anwar, Malaysia menerima kunjungan para pemimpin terkemuka, termasuk Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, selain beberapa lawatan peringkat tertinggi dari Australia, Arab Saudi, Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, India, Filipina, Hong Kong, Timor Leste, Brunei, New Zealand, Thailand, Belanda, Jepun dan yang terkini kunjungan rasmi pertama Putera Monoca Putera Albert II dari 26 hingga 29 Nov.
Anwar dijangka mengakhiri lawatan diplomatik untuk tahun 2023 dengan menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun dari 16 hingga 18 Dis.
Tahun pertama sebagai perdana menteri mencerminkan agenda diplomatik Anwar yang kukuh dan jelas mempamerkan kebangkitan Malaysia di persada antarabangsa. - Bernama