Mat rempit dikepung, masuk 'perangkap' polis

Iklan
Antara penunggang motosikal yang dikenakan tindakan dalam Ops Bersepadu: Samseng Jalanan Digempur pada Sabtu.

GEORGE TOWN - Sebanyak 57 buah motosikal disita dan 88 saman dikeluarkan oleh polis dalam Ops Bersepadu: Samseng Jalanan Digempur yang dilakukan pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, operasi yang melibatkan pasukan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang dan Daerah Barat Daya itu bermula jam 11.30 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kumpulan penunggang motosikal itu termasuk dalam 'perangkap' polis apabila hasil risikan dan strategi pasukan operasi berjaya mengepung dengan menutup laluan di kawasan Jalan Sultan Azlan Shah dan Persiaran Mahsuri yang menjadi tumpuan mereka pada malam minggu.

"Dengan kekuatan dua pegawai bersama 39 anggota termasuk dari Unit Kereta Peronda (MPV) berjaya menjalankan operasi tutup di kawasan tumpuan bermula 11.30 malam hingga 1 pagi.

Iklan

"Dalam operasi tersebut, sebanyak 57 motosikal disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengeluarkan 88 keping saman atas pelbagai kesalahan," katanya menerusi kenyataan akhbar di sini pada Ahad.

Kamarul Rizal berkata, selain membendung aktiviti samseng jalanan, operasi itu juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Iklan

Katanya, operasi seperti itu akan diadakan dari masa ke masa bagi mencegah aktiviti samseng jalanan yang sering menggangu ketenteraman awam dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.