JOHOR BAHRU - Hukuman yang dikenakan terhadap pelaku yang mencemarkan Sungai Kim Kim disifatkan tidak setimpal ditanggung mangsa, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, yang menderita penyakit Myokymia sehingga kini.
Ibunya, Norlela Abu Hashim, 50, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu menderita penyakit yang mengakibatkan anggota badannya menggeletar selain perlu bergantung kepada tongkat untuk memudahkan pergerakkannya.
Jelasnya, tragedi pada Mac 2019, tidak mungkin akan dapat dilupakan kerana anaknya terhidu toksik ketika sedang belajar di sekolah dan kejadian tersebut telah menggemparkan negara ketika itu.
"Masih kuat di ingatan kami sekeluarga tragedi hitam itu terutama Irfan Wafiy. Walaupun kini di sekolah berasrama namun dia masih tanggung kesan yang menyebabkan anggota badannya terutama kaki sering menggeletar.
"Irfan perlu pakai tongkat kerana hanya mampu berdiri sebentar disebabkan saraf kakinya sehingga kini masih tidak kuat selain mudah merasa letih akibat penyakit Myokymia," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Norlela menegaskan dirinya bukan tidak menerima hukuman yang telah dijatuhkan mahkamah namun merasakan hukuman itu agak ringan memandangkan pencemaran Sungai Kim Kim memberi kesan cukup besar kepada anaknya.
"Saya amat sedih apabila melihat Irfan yang sehingga kini sebenarnya masih trauma dengan kejadian itu. Dia cukup bersemangat untuk berubah dan ramai tidak sangka Irfan mampu ke sekolah berasrama," katanya.
Pada 30 November lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan memaklumkan N Maridass didapati telah melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.
JAS memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.
Kejadian pencemaran sisa bahan kimia pada 13 Mac 3019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).