KEMAMAN - Barisan Nasional (BN) tidak perlu tunduk pada kekalahan sebaliknya memperbaiki kelemahan yang ada.
Justeru, calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, semua pihak perlu memperbetulkan kekurangan tersebut supaya terus maju ke hadapan untuk bertempur sekali lagi dalam pilihan raya akan datang.
"Dalam satu pertandingan jelas bahawa ada yang menang dan ada yang kalah. Menerusi hal ini kita tidak berjaya memenangi kerusi Parlimen Kemaman.
"Jadi kalau kalah pada kali ini maka bukan bererti kalah untuk selama-lamanya. Jangan kita tunduk pada kekalahan ini... kita harus berlapang dada menerima kekalahan kerana pengajaran itu akan menentukan kita akan berjaya pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian video di Facebooknya pada Ahad.
Mengulas lanjut, Raja Mohamed Affandi menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada kepada seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus selama 14 hari untuk menentukan kejayaan BN.
"Jadi kekalkan semangat tersebut dan jadikan semangat itu untuk mengukuhkan kita dalam kejayaan pada masa hadapan. Jangan memandang ke bawah, dan pandang ke hadapan kerana cara itu sahajalah kita akan menang pada masa akan datang," jelasnya.
Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberikan sokongan kepadanya pada PRK Kemaman pada Sabtu.
"Sesungguhnya undi yang telah diberikan pada saya itu amat besar ertinya untuk saya hadapi pada hari-hari mendatang," ujarnya.
Pas berjaya mengekalkan status quo apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dengan majoriti yang lebih besar, dengan penambahan lebih 10,000 undi.
Calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) memperolehi 27,778 undi.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang amendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.