LOS ANGELAS - Seorang bapa bersama tiga anaknya maut dalam kejadian kebakaran di kediaman mereka di Hemet, California kelmarin.
Jurucakap pihak bomba berkata, ketika kejadian mangsa, Juan Moreno dikatakan membantu isterinya menyelamatkan bayi dan anak perempuan mereka sebelum kembali ke bangunan itu untuk menyelamatkan dua anaknya yang lain.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, Moreno maut di tempat kejadian bersama-sama dua anak perempuannya, Janessa, 4, dan Maria, 12, apabila api merebak dengan cepat.
Mayat mangsa ditemui oleh anggota bomba di bilik tidur di dalam apartmen tersebut, manakala seorang lagi anak lelakinya yang berusia 8 tahun, Isaac meninggal dunia di hospital akibat kecederaan dialami.
Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada pokok Krismas yang terletak di sebelah pintu depan kediaman mereka yang turut memusnahkan kompleks apartmen dua tingkat terbabit, sekali gus memaksa penduduk di situ lari untuk menyelamatkan diri.
Ketua Jabatan Bomba Hemet, Scott Brown berkata, api marak dengan cepat sehingga menyebabkan petugas pemadam kebakaran berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran selain mengawal api daripada merebak ke bangunan lain dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian.
Laman GoFundMe telah ditubuhkan untuk membantu keluarga mangsa membayar kos pengebumian dan perubatan keluarga terbabit dan telah berjaya mengumpul dana lebih daripada £20,000 (RM107,975.40). - Agensi.