Empat emas di Paralimpik Paris 2024 realistik - Megat

Iklan
Atlet-atlet Paralimpik negara ceria sambil menunjukkan sampul wang tajaan pada Majlis Penyampaian Wang Tajaan Pemenang Pingat Sempena Temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, hari ini. - Foto Bernama

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) kekal menaruh harapan untuk melihat kontinjen negara menuai empat pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, empat emas bukan lah sasaran rasmi tetapi merupakan matlamat yang ditetapkan untuk bekerja keras bagi mencapai harapan itu.

Iklan
Iklan

Tanpa memaklumkan sukan yang menjadi sandaran, Megat berkata empat emas adalah jumlah yang realistik berdasarkan persembahan barisan atlet sepanjang tahun ini antaranya pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022, Oktober lepas dan di Kejohanan Dunia.

"Empat emas adalah objektif yang kami tengok realistik untuk kami capai, kami nak kumpulkan 10 pingat emas daripada Sukan Paralimpik (selepas pencapaian tiga emas masing-masing di Rio 2016 dan Tokyo 2020).

Iklan

"Empat emas bukan sasaran rasmi tetapi itulah sasaran yang kami buat hasil penelitian dari awal tahun ini sehingga sekarang dan ia sangat penting untuk kami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Wang Tajaan Pemenang Pingat Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Megat tidak melihat jumlah empat emas sebagai satu tekanan kepada kontinjen negara tatkala negara lain berani meletakkan sasaran emas jauh lebih tinggi.

Iklan

Terdahulu, pada majlis diadakan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini yang bersempena Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Antarabangsa 2023 itu, barisan pemenang pingat pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou menerima insentif berupa wang tunai.

Insentif yang diberikan itu menyaksikan pemenang pingat emas menerima RM2,000, pingat perak (RM1,000) dan gangsa RM500.

Kontinjen Malaysia membawa pulang keseluruhan 39 pingat sekali gus mengatasi sasaran 35 pingat, dengan pecahan tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa pada temasya sukan empat tahun sekali itu. - Bernama