AMPANG - Tindakan seorang penghantar makanan memiliki kad kuasa polis yang dibuat sendiri membawa padah apabila dia ditahan di Jalan Lorong Sabah Taman Melawati dekat sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan itu dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis yang menjalankan rondaan kira-kira jam 11.15 pagi.
Katanya, anggota polis bertugas kemudiannya bertindak menahan suspek dan melakukan pemeriksaan terhadapnya.
"Pemeriksaan dilakukan menemui satu dompet berwarna hitam mengandungi sekeping kad kuasa polis warna kuning dan biru tertera tulisan Polis Diraja Malaysia.
"Siasatan awal mendapati kad kuasa berkenaan merupakan kad palsu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Mohd Azam berkata, suspek juga gagal menyatakan alasan memiliki kad berkenaan.
"Semakan dijalankan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah, manakala ujian air kencing didapati negatif dadah.
"Suspek kemudiannya diberkas dan direman empat hari untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967.