JBPM Sabah terus pantau impak gempa bumi di Filipina

Iklan
Penduduk dan kakitangan perubatan memindahkan pesakit dari dalam hospital selepas gempa bumi berukuran 7.6 melanda Bandar Butuan, di selatan pulau Mindanao pada Sabtu. - Foto AFP

SANDAKAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah terus memantau kejadian gempa bumi di Mindanao, Filipina malam tadi dengan gegaran susulan sehingga pagi ini, sekiranya ia turut memberi impak kepada Sabah.

Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Hamsa Isnurdini berkata, walaupun pihak berkuasa belum menerima sebarang laporan terutama di pantai timur mengenai impak kejadian gempa bumi, pihaknya tetap membuat pemantauan rapi kerana kejadian itu melibatkan negara jiran berhampiran sempadan Malaysia.

Iklan
Iklan

"Kami (JBPM) tidak menerima sebarang laporan atau maklumat daripada orang ramai, tetapi kami memantau dengan rapi keadaan itu.

"Pegawai dan anggota kami khususnya di pantai timur dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Iklan

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud melanda wilayah selatan Filipina pada 10.37 malam, 42km tenggara Gingoog City dengan kedalaman 85km.

Setakat 11.28 pagi hari ini, kawasan itu menerima 14 gegaran susulan sederhana, namun MetMalaysia berkata tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian. - Bernama

Iklan