SUNGAI PETANI - Kebakaran di sebuah kilang di Bukit Selambau dipercayai turut mengakibatkan letupan seakan-akan bunga api sehingga dapat dilihat jelas oleh pengguna jalan raya dalam kejadian petang Ahad.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, panggilan kecemasan diterima berhubung kejadian pada jam lebih kurang 7.57 petang dan beberapa jentera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.
Menurutnya, setakat ini, tiada maklumat sama ada terdapat mangsa terlibat namun perkara itu akan dikemas kini dari masa ke masa.
"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya ditugaskan ke lokasi selain bantuan dari BBP Sungai Petani, BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Yan.
"Kita juga mengarahkan agar pasukan bomba sukarela berhampiran ke lokasi kejadian bagi membantu operasi memadam kebakaran," katanya.
Jelasnya, sebaik tiba di lokasi mendapati terdapat sebuah kilang telah terbakar selain letupan bunga api jelas kelihatan di udara berdekatan kawasan kebakaran.
Sehingga kini, pasukan bomba masih berusaha memadam kebakaran di lokasi kejadian.