Somerville impi sarung jersi Harimau Malaya

Iklan
Somerville - Foto FB Selangor FC

PENJAGA gol, Sam Somerville wajar dijulang selaku wira ketika membantu Selangor FC meraih kemenangan 1-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

Somerville yang berdarah kacukan Malaysia-England tampil memukau apabila berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dirobek barisan penggempur Sang Kenari diketuai Ifedayo Olusegun.

Iklan
Iklan

Hasil usaha keras dan aksi cemerlangnya, Somerville yang kini mencecah usia 29 tahun dinobatkan selaku pemain terbaik pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu.

Sejurus tamat perlawanan tersebut, Somerville secara terbuka mengakui dia sentiasa berharap dapat menyarung jersi skuad kebangsaan Harimau Malaya suatu hari nanti.

Iklan

"Ya... saya memang sentiasa memasang impian dan harapan untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan, tetapi fokus saya ketika ini adalah bersama pasukan Selangor FC,” katanya.

Mengulas kejayaan Selangor mara ke pentas Asia musim depan, Somerville berkata, dia turut gembira apabila dapat menunaikan impian pihak pengurusan dan penyokong The Red Giants.

Iklan

"Pasukan sudah lama tidak ke Asia dan sekarang ini kita sudah berjaya memberikan kepada penyokong. Jadi saya sangat teruja,” ujarnya yang menganggap kejayaan itu hasil kerjasama berpasukan.