Sempat sapa 'hai' sebelum rompak barang kemas RM178,000

Iklan
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki merompak sebuah kedai di Jalan Langgar, di sini pada Ahad. - Foto ihsan pembaca

ALOR SETAR - Seorang lelaki bersenjatakan senjata api jenis ‘pump gun’ dan sebilah kapak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM178,000 ketika merompak sebuah kedai emas di Jalan Langgar di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek dipercayai sempat menyapa pekerja perempuan di kedai emas terbabit dengan perkataan ‘hai’ sebelum melarikan barang kemas.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, Pusat Kawalan Daerah Kota Setar menerima panggilan daripada pengadu dipercayai anak pemilik kedai emas kira-kira jam 5.10 petang yang memaklumkan kejadian itu.

Beliau memberitahu, pengadu memaklumkan suspek bersenjatakan senapang dan sebilah kapak.

Iklan

"Siasatan mendapati suspek dipercayai berbadan gempal dan tinggi kira-kira 170 sentimeter datang seorang diri dan masuk ke dalam kedai emas itu sebelum menyapa 'hai' kepada pekerja wanita kedai emas itu.

"Suspek memakai topi keledar warna putih, baju jaket warna biru dan seluar panjang hitam, kasut hitam dan membawa sebuah beg badminton," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Syed Basri berkata, suspek kemudiannya meletakkan beg di atas lantai sebelum membuka beg dan mengeluarkan 'pump gun' seterusnya mengacu ke arah pekerja wanita itu.

Beliau menambah, suspek yang turut memakai sarung tangan mengeluarkan kapak dari beg bertindak memecahkan cermin meja pameran beberapa kali.

Menurutnya lagi, suspek kemudiannya mengambil dua dulang berisi 32 rantai emas bernilai kira-kira RM178,000 daripada meja pameran.

Syed Basri memaklumkan, lelaki itu memasukkan barang kemas ke dalam beg dan terus melarikan diri ke arah kiri kedai emas dipercayai dengan menaiki sebuah motosikal.

"Ketika kejadian, tiada pelanggan dan hanya seorang pekerja wanita dan seorang wanita dipercayai pengurus kedai serta anak lelaki kepada pemilik kedai," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menunjukkan senjata api dalam melakukan rompak.