SUNGAI PETANI - Kebakaran kilang sehingga mengakibatkan letupan 'bunga api' pada Ahad di Bukit Selambau dipercayai berpunca dari sebuah gudang kitar semula.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kawasan yang terbakar membabitkan kilang memproses barangan kitar semula iaitu aloi kepada aluminium yang terletak di Kawasan Perusahaan Bukit Selambau.
"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan, setakat ini bomba berada di lokasi dan keadaan terkawal," katanya.
Menurut Zaidy, hasil temu bual saksi di lokasi berdekatan memberitahu ternampak api sedang marak menyebabkannya keluar menyelamatkan diri.
"Pasukan bomba dan penyelamat masih belum dapat memastikan punca kebakaran dan masih menunggu siasatan forensik bomba," katanya.
Sehingga jam 11 pagi, masih terdapat timbunan barang-barang yang terbakar dan pihak bomba sedang menunggu jengkaut masuk untuk mengorek timbunan barangan terbabit.