Banjir: 102 kes penyakit berjangkit dikesan

Iklan
JKNK mengesan 102 kes penyakit berjangkit yang berlaku di PPS dalam tempoh dua minggu banjir melanda negeri ini. Gambar kecil: Dr Zaini

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesan 102 penyakit berjangkit yang berlaku di pusat pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh dua minggu banjir melanda negeri ini.

Jangkitan melibatkan mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS empat daerah iaitu Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Iklan
Iklan

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penyakit berjangkit yang dikesan ialah gastroenteritis akut (AGE) (cirit-birit); jangkitan pernafasan akut (ARI) (batuk, selesema dan sesak nafas); konjunktivitis (sakit mata); jangkitan kulit dan demam.

Menurutnya, rekod jangkitan kes dikira bermula PPS pertama dibuka di Pasir Puteh pada 21 November lalu hingga 3 Disember lalu.

Iklan

Dr Zaini (tengah) menunjukkan kamera badan untuk kegunaan penguatkuasa JKNK semasa operasi.


"Kesemua pesakit mengalami jangkitan ringan dan sudah mendapatkan rawatan di klinik-klinik kekal atau bergerak yang beroperasi di setiap PPS,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kamera Badan untuk Aktiviti Penguatkuasaan di bawah Program Kesihatan Awam Peringkat JKNK 2023 di Wisma Persekutuan pada Isnin.

Pada majlis itu, sejumlah 30 kamera badan yang setiapnya bernilai RM1,200 diagihkan kepada penguat kuasa Unit Inspektorat dan Perundangan JKNK dalam usaha pihak Kementerian Kesihatan memelihara intergriti serta meningkatkan imej kakitangan.

Dr Zaini (kiri) memakaikan kamera badan kepada salah seorang kakitangan JKNK.

Iklan

Dr Zaini berkata, penjagaan kesihatan secara individu di PPS perlu ditingkatkan selain memastikan makanan dan minuman selamat sebelum dimakan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan berpuas hati dengan pamatuhan standard penyediaan makanan pihak itu kepada mangsa-mangsa banjir di PPS.

”Saya nasihatkan kepada mereka, supaya menggunakan dan meminum air yang bersih bagi menggelak jangkitan penyakit.

"Makanan juga perlu pastikan tidak rosak dan sentiasa amalkan lihat, hidu serta rasa sebelum makan,” kata beliau.

Tambahnya, turut melakukan saringan Covid-19 bagi mangsa-mangsa yang menunjukkan gejala dan setakat ini tiada kes pandemik itu berlaku di PPS.