PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak ada peningkatan sokongan kepada calon Pas di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman Sabtu lalu.
Sebaliknya, beliau berkata, terdapat kekurangan pengundi putih UMNO sebanyak 10,000.
"Oleh sebab itu apabila hanya 68.3 peratus sahaja pengundi putih UMNO yang keluar mengundi, maka ia nya telah menyumbang kepada majoriti yang bertambah kerana pengundi kita tidak keluar," katanya menerusi sidang akhbar Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023- 2030 di sini pada Isnin.
Menurut beliau, kemenangan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tidak boleh dianggap sebagai referendum kerana ia suatu kempompong yang kecil.
"Mana mungkin 141,000 pengundi di Kemaman dianggap sebagai satu referendum?
"Jadi kita harap mereka tidak bermimpi di siang hari," katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan menyifatkan kemenangan Samsuri itu membuktikan referendum rakyat terus berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Takiyudin turut mengesahkan momentum sokongan menaik kepada PN dalam beberapa siri PRK pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk di Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Pelangai.
Ahmad Samsuri atau dikenali sebagai Dr Sam menewaskan pencabarnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerusi pertembungan satu lawan satu.
Naib Presiden Pas tersebut memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili BN mendapat 27,778 undi.