GOL tunggal Joao Felix mengecewakan Atletico Madrid ketika dia membantu kemenangan Barcelona dalam saingan La Liga awal pagi Isnin.
Penyerang Portugal itu yang beraksi secara pinjaman di Barca dari Atletico tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas menghukum kelab induknya di Stadium Olimpik.
Felix yang ditemui media selepas perlawanan mengakui ingin kekal di kelab yang berpangkalan di Catalunya itu.
Gol penyerang itu pada minit ke-28 membolehkan Barca merampas semula tangga ketiga daripada Atletico, ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Real Madrid dan Girona.
Felix sebelum perlawanan dikritik segelintir pemain Atletico, namun jurulatih Barca, Xavi Hernandez mahu dia menjadikan kritikan itu sebagai pencetus semangat.
"Saya memberitahunya supaya bertenang, motivasi tambahan ini kadang-kala memberi inspirasi dan membantu anda memperoleh semangat baharu,” ujar Xavi.
Beliau turut memuji aksi mengagumkan para pemainnya untuk mengutip tiga mata berharga.
"Pasukan ini mempunyai personaliti, kami bermain dengan amat bagus - mungkin ia perlawanan terbaik kami musim ini. Saya boleh katakan ia satu permainan lengkap.
"Ia satu petanda positif apa yang boleh kami buat dan patut lakukan dalam setiap perlawanan. Inilah Barcelona,” ujar Xavi.