'Bunyi macam kapal terbang meletup'

Iklan
Kebakaran kilang di Bukit Selambau pada Ahad malam mengakibatkan letupan kuat sehingga mengejutkan penduduk. (Gambar kecil: Norehan, Normah, Rosnani)

SUNGAI PETANI -"Bunyi seolah-olah kapal terbang mendarat rendah atas bumbung rumah sebelum terbakar dan meletup kuat."

Itu antara reaksi penduduk berhubung kejadian kebakaran yang tercetus di Bukit Selambau pada Ahad malam yang mengejutkan ramai pihak.

Iklan
Iklan

Norehan Hasan, 45, yang merupakan penduduk Kampung Baru Bukit Selambau berkata, akibat bunyi yang terlalu kuat, dia yang sedang makan meninggalkan makanan seperti mahu menyelamatkan diri kerana tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Melihat keadaan yang tidak terkawal, Norehan segera menghubungi pasukan bomba bagi memaklumkan kejadian.

Iklan

Seorang lagi penduduk Perumahan Awam Bukit Selambau, Shariza Mohd Sharif, 46, turut mengakui bunyi kuat itu seolah-olah seperti kapal terbang ingin mendarat.

"Semua pakat keluar tengok, ada yang takut sebab depa kata macam bunyi kapal terbang serang... meletup-letup, rupa-rupanya kilang yang terbakar," katanya.

Iklan

Seorang penduduk Kampung Penghulu Tua, Normah Che Noor, 60, berkata, bunyi letupan kuat yang didengari disangka latihan tembakan anggota Rela memandangkan kedudukan pusat latihan pasukan itu terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Bila dengar banyak kali tak habis-habis meletup, duk tanya suami kenapa latihan Rela tak habis lagi, sakan sungguh bunyi.

"Malam tu kami nak keluar ke Kuala Ketil tapi pusing kat kawasan tu dulu sebab nak tengok dari dekat apa yang berlaku... dari jauh nampak asap merah hitam, rasa bahang, kami tak pi dekat sebab takut, nampak juga percikan bunga api seolah-olah macam pertunjukan pula," katanya.

Selain itu, rakannya, Rosnani Shaari, 54, berkata, kebakaran disedari sekitar 7.40 malam yang jelas kelihatan dari luar rumah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kebakaran di sebuah kilang di Bukit Selambau turut mengakibatkan letupan seakan-akan bunga api sehingga dapat dilihat jelas oleh pengguna jalan raya dalam kejadian petang Ahad.