SEREMBAN - Kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) meneruskan pelaksanaan projek Ladang Satelit Nasional (LSN) yang merupakan sebahagian daripada komponen ladang kontrak di bawah Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Exco Kanan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia selari dengan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025 yang meletakkan sasaran tahap sara diri bagi daging lembu/kerbau sebanyak 38-40 peratus menjelang tahun 2025.
"Di Gemas terdapat dua LSN iaitu LSN Londah dan LSN Ulu Ladang.
LSN Londah dibangunkan di atas tanah seluas 128 hektar manakala LSN Ulu Ladang dibangunkan di atas tanah seluas 40 hektar.
"Kedua-dua LSN ini dibina di atas tanah rizab padang ragut di bawah kawalan JPVNS yang mana dilengkapi dengan kemudahan serta infrastruktur asas penternakan termasuklah 14 unit kandang yang berkapasti 200 ekor lembu setiap unit," katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15 di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) berkenaan perancangan, usaha dan tindakan kerajaan negeri berkaitan memperkasa semula program LSN dan NFC.
Menurutnya, bagi memperkasa dan meningkatkan daya saing projek LSN tersebut, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa tindakan.
Beliau berkata, antaranya dengan mengenal pasti dan melantik penternak-penternak yang berkelayakan dan kompeten sahaja untuk mengusahakan 14 unit kandang secara pajakan yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Tanah Rizab (JPTR) dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan (MMKN).
"Sehingga 31 Oktober lalu, JPTR telah menyokong permohonan pajakan melibatkan 13 unit kandang dan kini sedang dalam proses kelulusan oleh MMKN.
"Baki satu unit kandang masih lagi kosong dan dibuka kepada penternak untuk permohonan," katanya.
Jalaluddin berkata, setiap penternak yang lulus pajakan akan dipantau oleh pihak JPVNS dan diberi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai dalam tempoh tiga tahun.
Ujarnya, sekiranya mereka didapati tidak aktif dan tidak mencapai KPI yang ditetapkan, maka perjanjian pajakan tanah tersebut akan dibatalkan dan dibuka semula kepada penternak lain untuk permohonan baharu.
"Bermula tahun 2020 sehingga tahun 2023, JPVNS melalui peruntukan pembangunan P52, telah membelanjakan sebanyak RM163,050.33 bagi tujuan menaik taraf infrastruktur ladang dan bantuan baka ternakan kepada penternak di kedua-dua LSN.
"Di samping itu, kerajaan negeri melalui JPVNS juga turut memberikan perkhidmatan konsultasi dan teknikal veterinar kepada para penternak dalam pelbagai aspek seperti pengurusan kesihatan, pemakanan ternakan, pembiakbakaan dan lain-lain untuk membantu mereka meningkatkan produktiviti ternakan dan ladang," katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri amat komited dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengeluaran daging dalam negara khususnya di Negeri Sembilan.