Perbicaraan saman Indira Gandhi terhadap kerajaan 6 Februari 2024

Iklan
Perbicaraan saman Indira Gandhi terhadap kerajaan 6 Februari 2024

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman seorang guru tadika, M Indira Gandhi terhadap Ketua Polis Negara (KPN) kerana gagal menangkap bekas suaminya yang memeluk Islam dan melarikan anak perempuan mereka, ditetapkan di Mahkamah Tinggi di sini bermula 6 Februari tahun depan.

Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A Dadi berkata, tarikh perbicaraan berkenaan ditetapkan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Iklan
Iklan

Ketika dihubungi, Andi Razalijaya yang mewakili kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku defendan berkata, mahkamah menetapkan prosiding itu berjalan selama empat hari.

Pada 16 Julai 2021, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan keempat-empat defendan bagi membatalkan saman terbabit sementara pada 7 September 2022, keputusan sama dikekalkan Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Iklan

Dalam saman difailkan pada 28 Oktober 2020, Indira sebagai plaintif mendakwa defendan pertama iaitu KPN sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus (mengarahkan) daripada Mahkamah Persekutuan.

Ini kerana, mereka gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya, untuk mengembalikan Prasana Diksa, yang kini berusia 15 tahun kepadanya.

Iklan

Anak perempuan mereka, Prasana didakwa dilarikan Muhammad Riduan Abdullah (yang sebelumnya dikenali sebagai K Pathmanathan) ketika berusia 11 bulan, sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam.

Dakwa wanita itu, kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung, menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga kini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Pada 2009, Muhammad Riduan mengislamkan tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira Gandhi sebelum ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak itu.

Bagaimanapun, pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama satu pihak ketiga-tiga anak itu sebagai batal dan tidak sah.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak memberikan hak penjagaan penuh tiga kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis dan perayu menangkap Muhammad Riduan dan mendapatkan semula Prasana untuk dikembalikan kepada Indira Gandhi.