Cheng Hoe antara pilihan isi kekosongan pengendali B-22

Iklan
Cadangan Cheng Hoe sebagai jurulatih B-22 negara merupakan salah satu pilihan yang ada bagi mengisi kekosongan tersebut. -Foto FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan pelantikan Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara merupakan antara pilihan badan induk bola sepak negara itu bagi mengisi kekosongan tersebut.

Namun begitu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyatakan FAM tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru memandangkan Cheng Hoe mempunyai tugas besar bersama skuad kebangsaan bagi mengharungi tiga perlawanan penting Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sehingga Jun tahun depan.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ia ditambah pula dengan skuad B-22 tidak mempunyai sebarang tugas besar sepanjang 2020.

"Itu antara pilihan yang FAM ada (mengisi jawatan jurulatih B-22) sama seperti yang berlaku dalam bola sepak di Vietnam dan Thailand. Itu antara pilihan yang ada dalam dunia ini.

Iklan

"Pada Februari dan Mac tahun depan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akan bersidang membincangkan pilihan yang ada (mengisi jawatan jurulatih skuad B-22 negara).

"Kita tidak mahu mengganggu konsentrasi Cheng Hoe bagi menyiapkan pasukan menghadapi perlawanan besar. Biar dia fokus dalam misinya bersama Harimau Malaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sekiranya FAM menggunakan khidmat Cheng Hoe yang kini mengendalikan pasukan kebangsaan untuk menjadi jurulatih B-22 tahun, Malaysia mengikut jejak langkah pasukan jiran Thailand, yang meletakkan Akira Nishino sebagai pengendali kedua-dua pasukan itu bagi memastikan corak permainan dapat diselaraskan.

Perkara sama juga berlaku di Vietnam apabila pengendali skuad utama negara mereka, Park Hang-seo turut diamanahkan mengendalikan skuad B-22 atau B-23.

Cheng Hoe kini telah mengendalikan skuad senior selama dua tahun sejak dilantik pada Disember 2017.

Walaupun FAM sebelum ini memberikan jaminan kepada Cheng Hoe bahawa beliau hanya perlu fokus kepada skuad utama yang mempunyai misi besar dalam baki tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tetapi banyak khabar angin mengaitkan dirinya dengan skuad B-22 negara selepas kontrak Datuk Ong Kim Swee berakhir hujung tahun ini.