SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang diumumkan pada Sabtu memberi isyarat jelas bahawa UMNO masih jauh untuk berjaya dalam mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun parti tersebut menonjolkan seorang pahlawan bangsa dengan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang namun mereka tetap tewas.
"Keputusan ini juga menyedarkan UMNO mesti mempunyai ketahanan untuk terus berjuang dalam arena politik Melayu yang semakin dinamik kerana keputusan PRK tersebut indikasi jelas bahawa ia perjalanan jauh, tidak linear dan memakan masa panjang.
"Semangat, cara kerja, strategi dan kepimpinan perlu kecekalan jika parti ini ingin bersaing untuk menjuarai semula pengaruh serta kepercayaan bangsa Melayu dalam politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada PRK Kemaman, calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas kepada calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti 37,220 undi.
Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding 27,778 yang diraih Raja Mohamed Affandi.
Tambah Mohamad, UMNO juga terus dijauhi generasi muda Melayu sehingga penolakan golongan tersebut terhadap parti berkenaan semakin konsisten.
"Sesuatu harus dilakukan segera kerana generasi muda berpotensi untuk dimenangi dan meraih sokongan mereka tetapi kaedahnya mesti sesuai citra, aspirasi serta keperluan kehidupan.
"Keputusan PRK ini juga memberi pedoman bahawa mengimbangi politik perkauman dan agama adalah sukar dan kompleks kerana bukan mudah menghadirkan pilihan jalan sederhana.
"Ideologi pelampau kanan, retorik perkauman dan agama semuanya sangat mudah untuk dimanfaatkan bagi meraih populariti. UMNO tidak boleh tergelincir dari landasan kesederhanaan,” ujarnya.
Menurut Mohamad, kekalahan di PRK Kemaman itu tidak sesekali mematikan parti berkenaan.
"Ia adalah pertandingan dalam liga demokrasi yang ada menang dan kalah, UMNO hanya tewas seperti kekalahan lain yang pernah dilalui.
"Di lain ketika, pasti akan ada kemenangan untuk parti ini, Insya-ALLAH,” jelasnya.